Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan Kompleks PKNS, Shah Alam pada 19 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM terima juadah berbuka daripada peniaga, ramai mahu berswafoto di bazar PKNS

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam di sini hari ini memeriahkan lagi suasana.

Lengkap berbaju Melayu ungu lembut dan bersamping, ketibaan beliau pada jam 5.40 petang disambut ramai termasuk pengunjung dan peniaga bazar selain pentadbiran Kerajaan Selangor serta pengurusan Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI.

Sempena program Santunan Ramadan Malaysia Madani ke Selangor itu Ahli Parlimen Tambun berkenaan meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni peniaga dan pelanggan malah turut melayan permintaan orang ramai yang mahu berswafoto.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan Kompleks PKNS, Shah Alam pada 19 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketika melawat gerai jualan, ada antara peniaga memberi barangan niaga kepadanya seperti pulut mangga, bubur dan kuih tepung pelita secara percuma.

Bagaimanapun perdana menteri tetap membuat bayaran harga juadah terbabit dan tidak mengambilnya secara percuma.

Dalam program itu juga Anwar turut mengagihkan baucar Rahmah Platform Selangor bernilai RM5 dan sumbangan kuih raya MBI kepada pengunjung.

Sejak menerajui Putrajaya, Anwar beberapa kali menghadiri program dan bertemu rakyat di Selangor antaranya menyempurnakan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 8 April.

Menerusi program berkenaan, beliau mengumumkan dana tambahan sebanyak RM35 juta bagi memperkasa komuniti PPR di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 9 Februari, Anwar mengunjungi Universiti Selangor (Unisel) sempena program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil dan disambut lebih 4,000 tetamu termasuk pelajar.

Institusi pengajian tinggi tempatan itu pertama dikunjunginya selepas menggalas jawatan perdana menteri.


Pengarang :