Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama peniaga dan pengujung ketika ramah mesra bersama peniaga bazar ramadan di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 19 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sukarelawan askar wataniah, tentera maritim terima bantuan khas Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 APRIL: Perdana menteri mengumumkan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT) dan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian insentif bawah kategori sukarelawan Aidilfitri itu diperluaskan selepas tiga badan berkenaan mengemukakan permohonan.

“Elaun untuk sukarelawan ada permohonan yang dimasukkan iaitu sukarelawan askar wataniah (Rejimen Askar Wataniah), sukarelawan angkatan tentera (PSAT) dan sukarelawan maritim (PSMM).

“Semua akan masuk bawah bantuan kategori sukarelawan Aidilfitri,” katanya selepas melawat Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam sempena program Santunan Ramadhan Malaysia Madani ke Selangor hari ini.

Pada 29 Mac Anwar memaklumkan lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba akan menerima bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM300.


Pengarang :