Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika majlis berbuka puasa bersama masyarakat daerah Klang di Masjid Ahmadi, Klang pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Rakyat perlu bekerjasama bersihkan negara

KLANG, 19 APRIL: Rakyat Malaysia khususnya umat Islam digesa bekerjasama membersihkan negara daripada kekusutan lampau, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata biarpun pimpinan dan perdana menteri silih berganti, keadaan masih sama iaitu rasuah masih berleluasa dan sikap tidak berubah.

“Perubahan tidak berlaku, kontrak contohnya orang bawahan mengambil RM200 dikatakan rasuah tetapi menteri ambil berpuluh ribu jadi komisen.

“Saya nak ubah ini. Saya nak umat Islam dan rakyat Malaysia termasuk di Selangor bekerjasama dan ubah persepsi ini.

“Siapa jadi pemimpin mesti bertanggungjawab dan membersihkan negara daripada kekusutan lampau,” ucapnya pada majlis berbuka puasa sempena program santuni Ramadan Malaysia Madani ke Selangor di Masjid Ahmadi, Rantau Panjang di sini malam ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak sanggup bertolak ansur dengan sebarang ugutan dan ujian, bahkan membawa semangat dan roh Ramadan untuk membersihkan jiwa dan diri.

Katanya, negara kini ke arah perubahan dan beliau tidak kira orang guna slogan apa, tetapi tidak akan beri kesan dan makna jika tiada keikhlasan dan tekad untuk mengamalkannya.

“Bagaimana mahu menjadi negara madani kalau tidak sanggup bawa perubahan dari atas sampai ke bawah. Sebab itu kalau tindakan keras dan tegas saya mula daripada atas kerana rosaknya sistem negara dari pimpinan di atas.

“Sebab itu saya tidak sanggup bertolak ansur dengan apa pun ugutan, ujian saya bawa semangat roh Ramadan ini mesti ada kesungguhan membersihkan jiwa dan diri.

“Kita tidak mahu Malaysia terkenal sebagai negara yang penuh dengan permusuhan kaum, kesempitan pergaduhan agama, heboh dengan skandal rasuah, padahal umat majoriti tidak bersalah,” katanya.


Pengarang :