SHAH ALAM, 19 APRIL: Sebanyak 2,000 baucar Rahmah Platform Selangor (PLATS) bernilai RM5 diagih kepada pengunjung Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam di sini hari ini.
Ketua komunikasi sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata agihan baucar berserta 500 beg mengandungi dua balang kuih raya sumbangan pihaknya turut dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini merupakan program agihan terakhir. Sebelum ini 8,000 baucar sudah diagih di bazar Ramadan Seksyen 7 Shah Alam, USJ 4 Subang Jaya, Damansara Damai dan Cyberjaya Park.
“Malam ini MBI akan datang mengutip baucar bagi memastikan peniaga mempunyai wang tunai dan boleh berbelanja ketika hari raya,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Terdahulu beliau mengiringi Anwar mengagih baucar kepada pengunjung bazar selain beramah mesra dengan peniaga sempena program Santunan Ramadan Malaysia Madani ke Selangor.
Pada Ramadan tahun ini, MBI menyediakan 10,000 baucar Rahmah melibatkan belanja RM50,000 bagi meringankan beban belanja rakyat.
Sebelum ini Kerajaan Selangor turut menggalakkan peniaga makanan menyertai inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 selepas diperkenalkan kerajaan persekutuan.
Langkah berkenaan membuka peluang kepada mereka yang kurang mampu mendapatkan makanan pada harga berpatutan.