Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada seorang penduduk sempena Jelajah Kasih Ramadan pada 16 April 2023. Foto PKM DUN KINRARA
ADNSELANGOR

DUN Kinrara santuni 40 keluarga, agih bantuan Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyumbang bantuan Aidilfitri kepada 40 keluarga yang memerlukan sempena Jelajah Kasih Ramadan Ahad lalu.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata jelajah tersebut merupakan program tahunan pusat khidmat yang dianjurkan sejak beberapa tahun lalu.

“Perjalanan bermula di Taman Puncak Jalil, disambung ke Pangsapuri Enggang BK6, Perumahan BK4, Taman Kinrara 4, Taman Kinrara 5 (Taman Mawar), Puchong Intan, Puchong Indah dan berakhir di Puchong Perdana.

“Menerusi jelajah ini, kami dapat melihat sendiri keadaan warga Kinrara dan merancang untuk menyalurkan bantuan susulan,” katanya menerusi Facebook.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri berharap semoga bantuan dalam Jelajah Kasih Ramadan dapat menceriakan perayaan Aidilfitri warga Kinrara.

Sebelum ini, beliau memaklumkan pihaknya memperuntuk RM34,000 untuk sumbangan program ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau.

Katanya, 30 rumah ibadat menerima sumbangan bagi pelaksanaan aktiviti sepanjang Ramadan yang mana setiap masjid menerima sumbangan RM2,000 manakala surau RM1,000.


Pengarang :