Majalah @Halal edisi Mac-April memaparkan artikel Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto https://einkmedia.com/halal-march-april-2023/0217847001682068256
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri miliki kelebihan teraju industri halal, dipuji anjur Selhac

SHAH ALAM, 22 APRIL: Majalah perniagaan tempatan, @Halal memuji penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 anjuran Kerajaan Negeri, bulan lalu.

Dalam naskhah edisi Mac-April itu, @Halal melaporkan Selangor memiliki kelebihan menerajui industri halal berikutan lokasinya yang strategik dan ekosistem pembuatan yang berkembang maju.

Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataannya di majalah tersebut berkata Selhac perlu ditonjolkan sebagai komponen penting dalam pelan ekonomi negeri yang lebih luas.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, ia selaras dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan industri halal sebagai sektor kritikal bagi meningkatkan kedudukan Selangor sebagai pintu masuk halal antarabangsa.

“RS-1 ialah usaha pertama seumpamanya di Malaysia. Antara bidang tumpuan dalam rancangan itu ialah industri halal, memberi tumpuan kepada aspek khusus yang kami percaya mempunyai ruang yang mencukupi untuk berkembang,” katanya.

Selhac yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) pada 10 hingga 12 Mac itu menghimpunkan kira-kira 200 pemain industri halal dari seluruh pelusuk negara dan antarabangsa.

Program edisi kedua itu turut merekodkan transaksi bernilai RM57.4 juta, mengatasi sasaran RM50 juta yang ditetapkan sebelum ini.

Majalah @Halal merupakan penerbitan perniagaan halal yang menghasilkan karya berkaitan komuniti halal dan perniagaan selain menawarkan perspektif berbeza serta berwibawa dalam pelbagai isu semasa.


Pengarang :