Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasinya mengenakan songkok semasa dialog dengan pimpinan Filipina ketika lawatan rasmi ke republik itu pada 28 Februari dan 1 Mac 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Songkok lambang jati diri, pakaian hiasan peristiwa penting

Oleh NAZLI IBRAHIM

Kecil, ringan dan ringkas. Namun, ia membawa perlambangan dan jati diri besar kepada pemakainya. Itulah hiasan kepala lelaki Melayu bernama songkok.

Dipadankan baju Melayu bersamping, songkok sinonim dengan sambutan Aidilfitri. Menjelang raya, banyak kedai menjual hiasan kepala itu demi memenuhi permintaan ramai.

Songkok juga sering digayakan lelaki pada majlis keramaian tertentu seperti perkahwinan dan makan malam orang kenamaan.

Selain itu, pemakaiannya dijadikan keperluan protokol dalam majlis rasmi seperti di istana atau menghadiri acara Dewan Undangan Negeri dan parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasinya mengenakan songkok semasa dialog dengan pimpinan Filipina ketika lawatan rasmi ke republik itu pada 28 Februari dan 1 Mac.

Songkok lama dikenali di Alam Melayu, khususnya di negara ini, Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand.

Mengikut artikel ‘Songkok, a traditional headgear’ terbitan Jabatan Penerangan Brunei Darussalam pada 2011, hiasan kepala itu diperkenal di negara berkenaan kira-kira 700 tahun lalu.

Diperbuat kertas keras dan disalut baldu, songkok dianggap hiasan kepala di kawasan diaspora Melayu.

Sebelum merdeka

Walaupun songkok boleh dipakai dengan meluas tanpa mengenakan baju Melayu, namun tradisi itu pernah diangkat sebagai simbol penting perjuangan politik.

Banyak gambar pada era itu memaparkan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra (gambar) sentiasa memakai songkok sama ada dalam majlis rasmi atau sebaliknya.

Malah, dalam majlis menandatangani perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, United Kingdom, beliau mengenakan songkok dengan kot dan tali leher.

Rama Kertamukti dalam makalah ‘Komunikasi Simbol: Peci dan Pancasila’ menjelaskan pemimpin nasional republik itu, Soekarno pernah menyarankan songkok menjadi lambang perjuangan menentang Belanda pada 1921.

Walau pemakaian songkok kurang diamalkan pada zaman sekarang, khususnya pada hari biasa, ia kekal menjadi tradisi penting orang Melayu.

Songkok asalnya antara seni buatan tangan anak bangsa. Meski pada masa kini dikeluarkan secara besar-besaran di kilang, ciri-cirinya masih lagi kekal.

Laman sesawang Lembaga Warisan Singapura, Roots menjelaskan, komponen songkok terdiri daripada atap dan dinding. Antara bahan pembuatannya ialah kertas keras, baldu, kain dan benang.

Kajian Che Wan Nurmas Azura Che Wan Hasanuddin dan lain-lain dalam Jurnal Sejarah Lisan Malaysia menukilkan penghasilan songkok melalui enam proses.

Proses itu mencatu, mengkarung, menggunting, mencantum, memasang baldu dan menebuk lubang (jika perlu). Berikut langkah pembuatan songkok:

  1.  Mencatu babitkan pemasangan kain perca dengan kain satin. Dilakukan bagi menghasilkan bahagian dalam songkok.
  2. Mengkarung atau mengukur saiz dan menjahit garisan tepi songkok. Jahitan berulang-ulang supaya kemas dan tebal.
  3. Menggunting melibatkan dua bahagian penting iaitu dinding dan atap.
  4. Mencantum bahagian atap dan dinding menjadi songkok.
  5. Memasang baldu keseluruhan songkok.
  6. Menebuk lubang (proses tambahan). Dilakukan jika mendapat permintaan pelanggan menebuk lubang pada atap songkok. Fungsinya supaya pemakai tidak rimas dan udara panas tidak terperangkap atau berkuap di kepala.

 

 


Pengarang :