Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama penjawat awam selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Angkat semangat kebersamaan, kukuh hubungan pentadbiran negeri-persekutuan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak warga Selangor mengangkat semangat kebersamaan demi kemajuan, kemakmuran dan kemaslahatan negeri.

Mengambil contoh inisiatif Selangor melebarkan bantuan kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam persekutuan, beliau berharap semangat itu mengukuhkan hubungan pentadbiran negeri dan pusat sekali gus memperkasa perkhidmatan kepada rakyat.

“Kali pertama dalam sejarah kita (Selangor) turut melebarkan bantuan kewangan raya kepada penjawat awam persekutuan yang pendapatan mereka RM3,000 ke bawah menerima RM200 sempena Aidilfitri tahun ini.

“Semoga dengan semangat kebersamaan yang kita tunjukkan itu akan mengukuhkan hubungan antara pentadbiran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, memperkemas dan memastikan penyampaian kita benar-benar berkesan kepada komuniti dan masyarakat,” katanya yang turut yakin semangat kebersamaan juga menjadi tonggak kejayaan sesebuah negeri.

Berucap dalam perutusan Aidilfitri di Facebook semalam, Amirudin mengambil kesempatan berpesan agar budaya kunjung-mengunjung dalam mengeratkan silaturrahim dikekalkan.

“Aidilfitri disambut di Malaysia dan Selangor dengan suasana yang cukup meriah, biasanya kita akan melakukan aktiviti kunjung mengunjung atau menganjurkan acara rumah terbuka.

“Ini pastinya akan menjemput sanak saudara, rakan-rakan dan sahabat untuk kunjung mengunjung antara satu sama lain dan sudah pasti amalan yang mulia ini harus kita kekalkan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kemampuan Selangor memberi insentif khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri dan persekutuan didorong kejayaan prestasi pungutan hasil dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

 


Pengarang :