AGENDANASIONAL

Lelaki obesiti cedera ketika mendaki, empat jam bomba bawa turun

IPOH, 23 APRIL: Lapan anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam bagi membantu membawa turun lelaki obesiti seberat 140 kilogram (kg) yang patah pergelangan kaki kiri ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Tiga Ratus, Manjung, hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, berkata lelaki berusia 44 tahun itu mengalami kecederaan setelah tergelincir ketika melakukan aktiviti mendaki bersama rakannya.

“Anggota menggunakan pengusung untuk membawa turun mangsa serta memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.50 tengah hari dan 11 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian.

“Lelaki tersebut yang berada di ketinggian 170 meter dari kaki bukit berkenaan gagal untuk bergerak dan terpaksa menggunakan khidmat anggota bomba dan peralatan khas bagi membantu lelaki itu serta rakannya turun,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :