Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBI agih 10,000 baucar Rahmah PLATS RM5 di pasar malam selepas raya

SHAH ALAM, 24 APRIL: Pemberian baucar Rahmah Platform Selangor (PLATS) bernilai RM5 akan diteruskan kepada pengunjung pasar malam selepas perayaan Aidilfitri ini.

Ketua komunikasi sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata agihan dibuat di kawasan luar bandar antaranya sekitar Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

“Untuk program ini MBI memperuntuk sebanyak RM50,000 sekali gus mampu menyediakan 10,000 baucar untuk diagih kepada pengunjung pasar malam.

“Matlamat kita mahu bantu penduduk berdepan isu kenaikan harga barang dan dalam masa sama kita tolong peniaga jana pendapatan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini hari ini.

Sempena Ramadan tahun ini anak syarikat Kerajaan Selangor itu mengagih baucar Rahmah PLATS kepada 10,000 pengunjung bazar.

Ia melibatkan pembeli di bazar Ramadan Seksyen 7 dan Kompleks PKNS Shah Alam, USJ 4 Subang Jaya, Damansara Damai dan Cyberjaya Park.

Sebelum ini Kerajaan Negeri turut menggalakkan peniaga makanan menyertai inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 selepas diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Langkah berkenaan membuka peluang kepada mereka yang kurang mampu mendapatkan makanan pada harga berpatutan.


Pengarang :