Pengunjung gerai Seksyen 9, Shah Alam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengawal penjarakan fizikal sewaktu membuat pembelian ketika tinjauan pada 9 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dana RM50 juta bina, naik taraf gerai legakan penjaja kecil

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Inisiatif kerajaan dalam memperkasakan penjaja kecil menerusi peruntukan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk diibaratkan sebagai ‘nafas baharu’ buat golongan itu untuk menjalankan perniagaan mereka selepas ini.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata ia berikutan terdapat beberapa kawasan di tempat penjaja kecil berniaga yang memerlukan pembinaan baharu serta naik taraf bagi membolehkan mereka berniaga dengan selesa di gerai atau kiosk yang lebih baik.

“Kalau kita lihat di Kuala Lumpur, banyak lagi kawasan yang perlu dinaik taraf contohnya di Pasar Pudu. Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Pasar Pudu tidak ada pembinaan baharu. Jadi saya harap supaya peruntukan itu dapat dilaksanakan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Februari lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Sehubungan itu, Rosli mencadangkan agar kerajaan turut menjemput wakil persatuan penjaja untuk terlibat sama dalam memberikan pandangan serta buah fikiran mengenai sebarang pembinaan baharu atau naik taraf mana-mana gerai atau kiosk untuk penjaja kecil.

“Saya telah berjumpa dengan masyarakat penjaja dan mereka minta pemimpin persatuan penjaja hendaklah dijemput sama memberi pandangan dan cadangan supaya peruntukan itu hendaklah diguna pakai sebaik mungkin. Kita tidak mahu peruntukan itu tersasar daripada apa yang kita perlukan.

“Kita tengok berapa banyak medan selera yang dibina tidak ada pengunjung. Jadi kita tidak mahu berlaku pembaziran, kita mahu satu pandangan dan cadangan hendaklah diterima oleh PBT (pihak berkuasa tempatan) daripada pemimpin persatuan penjaja sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan Alor, Simon Ang berharap agar peruntukan oleh kerajaan itu dapat mengumpulkan golongan penjaja kecil di kawasan tertentu, terutamanya di kawasan B40 seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk membantu mereka berniaga.

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada kerajaan tempatan supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan penjaja baharu di kawasan tertentu, sebaliknya menambah baik sistem pemilikan lesen penjaja sedia serta memastikan isu ‘sewa atas sewa’ tidak berlaku.

Beliau berkata ia kerana masalah ketika ini bukan mengenai infrastruktur, tetapi penguatkuasaan terhadap lambakan penjaja kecil terutamanya di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

“Penjaja ada di sekeliling, di hadapan kedai dan pusat beli-belah, di laluan pejalan kaki (menyekat laluan pejalan kaki), di persimpangan trafik (menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya). Semua ini menimbulkan masalah kepada pejalan kaki dan menyebabkan kedai tersekat dan menjejaskan perniagaan restoran.

“Contohnya di Jalan Alor, sebelum ini DBKL janji tidak mengeluarkan lesen baharu, tetapi lebih banyak lesen dikeluarkan. Ia telah menyekat operasi kedai. Operator kedai dan restoran perlu membayar sewa tetapi penjaja hanya perlu membayar RM144 setahun. Adalah tidak adil jika lebih banyak lesen dikeluarkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :