Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2022 selepas majlis penyerahan insentif di Hotel Palm Garden, Putrajaya pada 13 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Suntik semangat, 600 kontinjen SUKMA Selangor dapat duit raya

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kira-kira 600 atlet, pegawai dan jurulatih kontinjen Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 menerima insentif khas Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar berkata pemberian itu bagi menghargai kontinjen negeri yang berjaya meraih tempat keempat dengan kutipan 32 pingat emas diikuti perak (54) dan gangsa (45).

“Segala usaha keras mereka wajar dihargai dan diharap dapat menyuntik motivasi bagi temasya akan datang.

“Pada masa sama, pemberian yang kebetulan serentak dengan perayaan Aidilfitri ini diharap turut memberi kegembiraan menyambut lebaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bergambar bersama pasukan renang selepas penyerahan cek cura ketika majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Negeri Selangor di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 7 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM611,600 bagi pemberian insentif kepada atlet, pegawai dan jurulatih kontinjen Selangor temasya SUKMA ke-20 tahun lalu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata pasukan renang menjadi penerima insentif berpasukan tertinggi dengan jumlah RM126,900 apabila meraih sembilan pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa.

Menurutnya, atlet menembak Haritz Iklil Hessly Hafiz yang meraih empat pingat emas dengan tiga rekod kebangsaan pula menjadi penerima insentif individu tertinggi sebanyak RM24,000.

“Insentif bagi pingat emas adalah RM3,500 bagi atlet individu, RM2,500 seorang untuk pasukan yang kurang daripada lima ahli, dan RM1,500 seorang bagi pasukan melebihi lima anggota.

“Manakala bagi pemecah rekod kebangsaan akan menerima RM4,000 dan RM2,000 kepada pemecah rekod SUKMA,” katanya.


Pengarang :