Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah 2.0 catat nilai jualan lebih RM7 juta dalam empat bulan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 mencatat nilai jualan sejumlah RM7.71 juta dalam tempoh empat bulan sejak Januari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata program itu berjaya memberi penjimatan lebih RM3.75 juta kepada penduduk.

“Jumlah ini diraih menerusi penganjuran JER 2.0 di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor membabitkan 448 lokasi. Barangan paling laris pula antaranya ayam, beras dan telur.

“Dengan perbelanjaan hampir RM12 juta termasuk kos subsidi, JER mampu menawarkan barangan keperluan asas 30 peratus lebih murah berbanding pasaran untuk rakyat Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau penganjuran JER Aidilfitri juga mendapat sambutan positif dan PKPS akan meneruskan lagi program itu seperti biasa mulai minggu depan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.


Pengarang :