SHAH ALAM, 27 APRIL: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan diesel di Sungai Gong, Rawang semalam berjaya mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA).
EXCO alam sekitar berkata siasatan segera menemukan sebuah jengkaut diletakkan dengan anggaran jarak 150 meter daripada sungai terbabit dan berhampiran sebuah premis kilang.
Menurut Hee Loy Sian, jentera bagi melaksana pemasangan tembok gabion untuk pengukuhan tebing sungai dijalankan tanpa kelulusan serta tidak mengikut piawaian kerja yang betul.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/Hee-Loy-Sian--500x340.jpg)
“Pelaksanaan kerja-kerja berkenaan daripada dalam sungai dan kaedahnya yang amat berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak.
“LUAS mengarahkan jentera dialihkan serta-merta daripada tebing sungai yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada operasi LRA utama negeri iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau menambah penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) juga dilakukan bagi mengelakkan sebarang kesan kepada Sungai Gong.
Loy Sian memaklumkan kertas siasatan turut dibuka bawah Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 berkenaan kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen LUAS.
“LUAS akan menjalankan tindakan susulan penguatkuasaan bagi pematuhan lesen lain yang berkaitan terhadap premis yang berkenaan,” katanya lagi.