Anggota Pasukan Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengalihkan pokok tumbang ekoran hujan lebat dan angin kencang di Taman Seri Medan, Sijangkang pada 25 April 2023. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Skuad Pantas MPKL alih pokok tumbang di tiga lokasi susulan hujan lebat, angin kencang

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 27 APRIL: Anggota Pasukan Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengalihkan beberapa pokok tumbang di tiga lokasi susulan hujan lebat dan angin kencang kelmarin.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata kejadian pokok tumbang sehingga menghalang laluan penduduk berlaku di Jalan Mengkuang 26, Taman Dato’ Hormat, Telok Panglima Garang.

“Sepasukan anggota Pantas melaksana kerja memotong dan mengalihkan dahan yang menghalang laluan penduduk dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada 6 petang.

“Sekitar 6.11 petang, satu lagi aduan pokok tumbang diterima bertempat di Taman Seri Medan, Sijangkang. Sepasukan anggota Pantas dengan tambahan empat anggota terus digerakkan ke lokasi kejadian,” maklumnya menerusi Facebook.

MPKL berkata Skuad Pantas dengan dibantu penduduk menjalankan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap serta merosakkan stor simpanan baja sebuah nurseri dalam operasi yang tamat pada 10.30 malam.

Jelas agensi itu pada masa sama pihaknya turut menerima satu lagi aduan pokok kelapa sawit tumbang menghalang laluan ke Tanah Perkuburan Islam, RTB Bukit Changgang.

“Skuad Pantas bersama empat kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Banting menjalankan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang memutuskan sebahagian kabel elektrik di kawasan terlibat.

“Kesemua kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang tamat sepenuhnya jam 11.30 malam,” katanya.

 


Pengarang :