Kenderaan komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berupa van untuk membawa orang kurang upaya (OKU) mendapatkan rawatan di hospital dan pusat perubatan terpilih. Foto ihsan MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Khidmat van percuma bawa OKU, warga emas ke hospital terpilih

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas untuk mendapatkan rawatan di lapan hospital dan pusat perubatan terpilih.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata perkhidmatan itu turut ditawarkan kepada pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dari Isnin hingga Jumaat, bermula 8.30 pagi.

Menurut Shahrin Ahmad, sebanyak dua unit van yang diubah suai bersesuaian dengan keperluan OKU disediakan bagi tujuan itu selain satu unit Proton Exora untuk membawa warga emas.

“Penyediaan kenderaan komuniti ini merupakan tanggungjawab sosial dan keprihatinan MBSA berikutan khidmat pengangkutan untuk OKU dan warga emas terhad dan sukar didapati,” katanya dalam kenyataan.

Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasukkan kerusi roda ke dalam van diubah suai yang disediakan secara percuma untuk orang kurang upaya (OKU) mendapatkan rawatan hospital dan pusat perubatan terpilih. Foto ihsan MBSA

Lapan lokasi terpilih ialah Hospital Shah Alam, Klinik Kesihatan Seksyen 7, Klinik Kesihatan Seksyen 19, Klinik Kesihatan Bukit Kuda dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Perkhidmatan sehingga 5 petang itu turut ditawarkan di Hospital Besar Sungai Buloh, Klinik Kesihatan Sungai Buloh dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Shahrin berkata kenderaan tersebut dilengkapi ‘tail lift’ untuk menampung pesakit berkerusi roda dan hanya boleh memuatkan dua penumpang serta seorang pemandu pada setiap perjalanan.

“Ruang bahagian kenderaan tersebut dikosongkan dan dilengkapi ciri keselamatan seperti tali pinggang untuk memastikan kerusi roda tidak bergerak semasa kenderaan berjalan,” katanya lagi.

Tempahan bagi perkhidmatan itu perlu dibuat dua minggu awal dengan menghubungi Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03- 5522 2732 atau 03-55105133 sambungan 1381.


Pengarang :