Gambar hiasan menunjukkan seorang lelaki menyiram wajah dengan air berikutan cuaca panas terik. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

El Nino diramal landa negara Jun, cuaca lebih kering dan panas

SHAH ALAM, 27 APRIL: Fenomena El Nino diramal melanda negara Jun ini berikutan kehadiran monsun barat daya dengan cuaca bercirikan kering dan panas, maklum pakar klimatologi.

Dr Fredolin Tajudin Tangang berkata fenomena yang dijangka sehingga Oktober selari pusat ramalan iklim di Korea yang meramal kebarangkalian El Nino melebihi 90 peratus, lapor Berita Harian.

“Di utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah biasanya didominasi keadaan kering dan panas di penghujung fenomena El Nino iaitu pada Januari hingga April 2024,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau menjelaskan cuaca kering, kemarau berpanjangan dan panas biasanya disusuli kebakaran hutan di kawasan tanah gambut yang sukar dipadamkan dan boleh menyebabkan jerebu.

Menurut Fredolin, keadaan akan lebih memburuk jika berlaku kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang juga berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan jika El Nino melanda Jun ini.

“Justeru, pihak berkuasa dan orang ramai disaran mengambil langkah untuk meminimumkan impak El Nino kali ini,” katanya lagi.

 


Pengarang :