Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru tidak melepaskan peluang membeli barangan asas dengan harga murah yang ditawarkan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Taman Sri Perepat, Kapar pada 14 Mac 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Meru anjur jualan murah di tujuh tempat bermula Sabtu ini

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menganjurkan tujuh program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bermula 29 April hingga 11 Mei ini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan berkata pihaknya memilih tujuh lokasi yang belum pernah diadakan program JER tahun ini.

Lokasi tersebut ialah Surau Darul Amin pada 29 April, Masjid Nurul Jannah (2 Mei), Surau Haji Alias (3 Mei), Taman Saga (6 Mei), Jalan Tempinis 14 (7 Mei), Taman Kapar Permai (8 Mei) dan Surau Haji Nasron (11 Mei).

“Kita anjurkan program ini pada tarikh yang berdekatan untuk membantu penduduk Meru membeli barangan asas pada harga murah kerana kita faham Aidilfitri ini pasti banyak belanja yang dikeluarkan.

“Semoga program ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan mereka musim perayaan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar Norlena sejak Januari lalu DUN Meru telah menganjurkan 25 program JER yang memanfaatkan 10,000 keluarga.

JER yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selanfor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :