Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasukkan kerusi roda ke dalam van diubah suai yang disediakan secara percuma untuk orang kurang upaya (OKU) mendapatkan rawatan hospital dan pusat perubatan terpilih. Foto ihsan MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lebih 1,500 warga emas, OKU manfaat khidmat van percuma ke hospital

SHAH ALAM, 28 APRIL : Seramai 1,526 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) memanfaatkan perkhidmatan van percuma ke hospital yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata angka itu direkod sejak pengangkutan itu dilancar pada 2015 sehingga Mac tahun ini.

“MBSA merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan yang menyediakan perkhidmatan percuma seperti ini dan ia merupakan antara usaha dan keprihatinan kita bagi membantu golongan memerlukan terutama warga emas dan OKU.

“Kita percaya ramai yang memerlukan perkhidmatan ini dan Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak dilancar sehingga kini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrin menjelaskan pihaknya juga akan berusaha menambah baik kenderaan komuniti itu dari semasa ke semasa demi memastikan keselesaan pengguna.

“Kita menyarankan masyarakat untuk menguar-uarkan perkhidmatan pengangkutan percuma ini supaya golongan warga emas dan OKU yang yang mahu ke hospital dapat dibantu,” katanya.

MBSA menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas untuk mendapatkan rawatan di lapan hospital dan pusat perubatan terpilih sepanjang Isnin hingga Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak dua unit van yang diubah suai bersesuaian dengan keperluan OKU disediakan bagi tujuan itu selain satu unit Proton Exora untuk membawa warga emas.

Lokasi penghantaran adalah seperti berikut:

  • Klinik Kesihatan Seksyen 7 dan Seksyen 19
  • Klinik Kesihatan Bukit Kuda
  • Hospital Besar Shah Alam
  • Hospital Besar Sungai Buloh
  • Klinik Kesihatan Sungai Buloh
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah
  • Pusat Perubatan Universiti Malaya

Tempahan bagi perkhidmatan itu perlu dibuat dua minggu awal dengan menghubungi Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03- 5522 2732 atau 03-55105133 sambungan 1381.


Pengarang :