Seramai 10,000 pengunjung hadir ketika Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bas disedia buat pengunjung rumah terbuka Hulu Selangor malam ini

SHAH ALAM, 29 APRIL: Perkhidmatan bas ulang-alik disedia buat pengunjung Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor malam ini.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan bas yang beroperasi sepanjang acara dari 8 hingga 11 malam bagi melancarkan pergerakan keluar masuk kenderaan.

“Orang ramai juga digalakkan untuk meletakkan kenderaan di parkir awam Taman Bahtera dan kawasan sekitar Dewan Orang Ramai Hulu Bernam,” tulisnya di Facebook.

Rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri membuka tirai malam tadi di Sepang diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor hari ini dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (esok).

JKSA turut berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh segera dipohon.


Pengarang :