Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) bergambar bersama hadirin pada program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan tidak halang 10,000 penduduk kunjungi jelajah Aidilfitri di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 29 APRIL: Cuaca hujan tidak menghalang kira-kira 10,000 penduduk mengunjungi Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Padang Taman Awam Hulu Bernam di sini, malam tadi.

Program bermula jam 8 hingga 11 malam itu diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor Mohd Hasry Nor Mohd.

Amirudin dan isteri turut meluangkan masa mengunjungi lebih 30 gerai yang menghidangkan pelbagai juadah antaranya kambing bakar, sate, lemang, mi goreng, dan pelbagai jenis air.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan duit raya kepada 500 kanak-kanak serta memenuhi permintaan pengunjung yang mahu bergambar bersamanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal Iman Troye dan Jay Jay yang mendendangkan lebih lima lagu popular termasuk lagu hari raya.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri berlangsung di sembilan daerah membuka tirainya di Sepang semalam diteruskan di Padang Taman Sri Kerayong, Klang, esok.

Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :