Keadaan tapak yang dipenuhi longgokan sampah haram di Jalan Utama 1/10a, Taman Perindustrian Puchong Utama ketika tinjauan pada 28 April 2023. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

Pemaju tambak tanah, lupus sampah haram terima notis MBSJ

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan notis kepada pemaju yang membuat tambakan tanah haram yang dijadikan tempat meletak lori dan tong Roll On Roll Off (RORO) di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong Jumaat lalu.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata tapak itu turut dijadikan tempat pelupusan sampah haram.

“Siasatan mendapati terdapat kerja penambakan tanah termasuk sisa sampah serta dijadikan tempat letak lori dan tong RORO. Merujuk kepada pelan guna tanah, tapak itu adalah sebahagian tapak pembangunan milik pemaju.

“Justeru, MBSJ telah memasang pita untuk menghalang mana-mana pihak memasuki tapak berkenaan. Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa,” kata MBSJ menerusi Facebook.

Penguat kuasa MBSJ memasang pita penghadang di jalan masuk tapak di Jalan Utama 1/10a, Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, 28 April 2023. FOTO Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya

Menurut MBSJ, satu notis di bawah Seksyen 70A (9) Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan kepada pemaju dan jika tiada tindakan ke atas tapak itu kompaun sehingga RM25,000 akan dikenakan.

Satu notis di bawah kesalahan Seksyen 26, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) iaitu notis D akan dikeluarkan supaya pemaju memulih semula tanah kepada keadaan asal.

28 April lalu, MBSJ membuat lawatan tapak di Jalan Utama 1/10a, Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong melibatkan enam jabatan dalaman MBSJ iaitu Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik.


Pengarang :