Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor mampu sedia rumah mampu milik meski tanpa subsidi pemaju

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerajaan Selangor mampu menyediakan 120,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang meski tanpa bantuan subsidi pemaju.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata ia termasuk pelaksanaan dasar Rumah Selangorku (RSKU) 3.0 yang menawarkan rumah pada harga berpatutan khusus untuk anak muda baharu berkahwin.

“Konsep itu mungkin tidak pernah difikirkan selama ini dan Selangor mengambil langkah berani untuk mengetengahkan rumah bukan sahaja satu, dua atau tiga bilik tetapi harga mampu dimiliki semua bermula RM114,000 hingga RM250,000.

“Kita buat sebab mahu tunjuk kepada pemaju bahawa kita boleh melaksanakan rumah di kawasan berkepadatan tinggi dan bandaraya dengan harga tidak begitu tinggi tanpa bantuan subsidi,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam, DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini semalam.

Rodziah berkata pihaknya juga membuat beberapa polisi yang tidak membenarkan pemaju menukar pelan pembangunan perumahan lebih dua kali.

“Selepas dua kali kita beri kebenaran menukar pelan pembangunan, mereka (pemaju) tidak dibenarkan lagi menukarkannya. Mereka kena buat sepertimana yang dijanjikan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, Rodziah berkata Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) merekodkan hampir 120,000 senarai menunggu bagi memiliki Rumah Selangorku.

Jumlah itu melebihi sekali ganda daripada sasaran Kerajaan Negeri yang merancang membina 60,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2025.

Pada Februari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 65,000 unit Rumah SelangorKu kategori Idaman dan Harapan diluluskan sejak 2018.

Daripada jumlah itu 24,000 unit dalam proses kebenaran merancang, 6,500 masih dibina manakala 2,400 siap dibina di Kajang dan Bangi.


Pengarang :