AGENDAJENAYAH

Anggota polis wanita cedera dilanggar lelaki kejar ibu mentua

CHUKAI, 30 APRIL: Anggota polis wanita parah di bahu selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian jam 11.30 pagi itu, pemandu berusia 51 tahun itu bertengkar dengan ibu mentuanya, dipercayai disebabkan isu perebutan harta di sebuah rumah di Jalan Dato, dekat sini.

Beliau berkata dalam prtengkaran itu, suspek mengeluarkan sebatang kayu dan bertindak mengetuk bonet hadapan serta bumbung kereta ibu mentuanya sehingga kemek.

“Ibu mentuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan.

“Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mentuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal (ditunggang) anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Hanyan berkata anggota polis berrpangkat sarjan berusia 36 tahun itu dikejarkan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Menurutnya suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan pada jam 2.15 petang tadi di tepi jalan di kawasan Ibok, kira-kira 18 kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek gagal melarikan diri lebih jauh kerana kereta yang dinaikinya rosak dan tersadai di tepi jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :