Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyifatkan penganjuran program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di daerah itu pada 29 April lalu berjaya apabila dihadiri lebih 10,000 pengunjung.
Pihak berkuasa tempatan itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli majlis MPHS, warga kerja dan semua jabatan, agensi dan pejabat DUN yang terlibat dalam menjayakan program di Padang Taman Awam Hulu Bernam.
“Tidak lupa juga kepada semua warga Hulu Selangor kerana hadir memeriahkan Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin,” katanya di Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/1200_AA19-500x342.jpg)
Program dilokasi kedua siri jelajah berkenaan yang bermula 8 hingga 11 malam itu menyediakan lebih 30 gerai yang menghidangkan beraneka juadah antaranya kambing bakar, sate, ayam bakar madu, lemang, rendang, air balang dan banyak lagi.
Selain disajikan pelbagai juadah menarik, pengunjung turut dihiburkan persembahan artis jemputan Jay Jay dan Iman Troye selain tarian serta persembahan pelajar SMK Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Program terbabit diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/1200_AA11-500x346.jpg)
Program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal di sembilan daerah.
Membuka tirainya di Tapak Pasar Pagi Pekan Salak, Sepang pada 28 April, program sama diteruskan di Padang Taman Sri Kerayong Klang semalam.
Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).
Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).
Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.