ADNSELANGOR

Jualan murah DUN Bandar Utama esok, pengunjung digalak bawa beg sendiri

SHAH ALAM, 1 MEI: Orang ramai yang berkunjung ke jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama esok digalak membawa beg sendiri.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar daripada tercemar selain melatih diri tidak lagi menggunakan beg plastik.

“Program JER kini kembali lagi, satu lagi inisiatif khas Kerajaan Selangor untuk warganegara yang berumur 15 tahun dan ke atas sahaja.

“Bagi menghargai alam sekitar, orang ramai digalakkan membawa beg anda sendiri, #kempenbebasplastikbeg,” katanya menerusi Facebook.

JER DUN Bandar Utama berlangsung esok dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari di Gelanggang Bola Keranjang, Kampung Chempaka.

JER yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :