Orang ramai diminta mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan strok haba. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cuaca panas, pakar nasihat kurangkan aktiviti luar elak strok haba

SHAH ALAM, 2 MEI: Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak tubuh kekurangan air dan masalah kesihatan seperti strok haba berikutan cuaca panas ketika ini.

Pakar kesihatan persekitaran dari Universiti Putra Malaysia berkata ia perlu disusuli dengan meminum air sekurang-kurangnya 2.5 liter atau enam gelas sehari, lapor Sinar Harian.

“Apabila tubuh tidak mendapat air yang mencukupi, ia akan mengakibatkan kekejangan dan keletihan yang boleh menyumbang kepada strok haba.

“Keadaan itu boleh menyebabkan seseorang pengsan sehingga berisiko berhadapan dengan kematian,” kata Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman seperti dilaporkan.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk berada di kawasan yang terlindung daripada gelombang panas dan mempunyai pengudaraan baik selain mengambil juadah seperti sup serta buah-buahan berair.

Sebelum ini, pakar klimatologi meramalkan fenomena El Nino melanda negara Jun ini berikutan kehadiran monsun barat daya dengan cuaca bercirikan kering dan panas.

Dr Fredolin Tajudin Tangang berkata fenomena yang dijangka sehingga Oktober selari pusat ramalan iklim di Korea yang meramal kebarangkalian El Nino melebihi 90 peratus.


Pengarang :