ADNSELANGOR

Liga Futsal Unity Hulu Selangor bermula Jun, peluang 12 pasukan rebut RM3,900

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 MEI: Pasukan futsal dipelawa menyertai Liga Futsal Unity Hulu Selangor yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM3,900 bermula Jun.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata pertandingan berkenaan berlangsung setiap Rabu mulai 9 hingga 12 malam di Arena Futsal Miel Batang Kali.

“Hanya 12 pasukan akan diterima menyertai pertandingan ini dan setiap pasukan perlu membayar yuran komitmen RM100.

“Penyertaan daripada pasukan futsal sekitar Batang Kali akan diutamakan,” kata Saifuddin Shafi Muhammad ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, juara pertandingan bakal membawa pulang RM1,500, pingat, piala dan sepuluh jersi sumbangan Kicka Sportwear.

Katanya, naib juara pula bakal membawa pulang RM1,000 beserta pingat, tempat ketiga (RM500 dan pingat), tempat keempat (RM300 dan pingat) dan tempat kelima hingga kelapan (RM150 dan plak).

“Pertandingan ini anjuran Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dun Batang Kali dengan kerjasama Penggerak Belia Selangor (PeBS) Batang Kali, Amatuer Futsal League, Kelab Penyokong Bola Sepak Batang Kali dan Kicka.

“Tunggu apa lagi peluang merebut kejuaraan sulung Piala Unity Hulu Selangor akan bermula. Jumpa di sana,” kata beliau.

Sebarang pertanyaan berhubung pertandingan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi 018-3585 723 (Ghafur) dan 019-5898 978 (Azmel) .


Pengarang :