Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom sown berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes dera Bella, nasib pengasas Rumah Bonda diketahui esok

SHAH ALAM, 2 MEI: Nasib Siti Bainun Ahd Razali sama ada dibebaskan atau bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella akan diketahui esok.

Keputusan akhir kes pembelaan membabitkan pengasas Rumah Bonda itu akan diputuskan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 10 pagi, lapor portal Sinar Harian.

Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada bawah jagaan Rumah Bonda.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi termasuk Bella sendiri, bekas penghuni Rumah Bonda dan pakar perubatan.

Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu dan diarah membela diri.

Dua bulan selepas itu, Siti Bainun yang diwakili 10 peguam menangis selepas kesemua peguamnya menarik diri secara berperingkat sebelum prosiding kes bela diri bermula.

Pada 26 Januari lalu, tertuduh, 31, memohon prosiding bela dirinya ditangguh sehingga keputusan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperoleh.

Tidak lama kemudian, Siti Bainun melantik semula seorang daripada lima peguam iaitu Mohammad Farhan, yang sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, untuk mengendalikan kes itu.

Selepas memanggil lapan saksi, pihak pembelaan Siti Bainun menutup kesnya pada 9 Mac lalu.

 

 


Pengarang :