Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

DUN Taman Templer, Balakong antara sembilan lokasi jualan murah esok

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual pelbagai barangan asas lebih murah berbanding harga pasaran diteruskan ke sembilan lokasi esok bermula 10 pagi.

Menurut poster di Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, lokasi meliputi tapak pasar malam Alam Jaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dan berhampiran CS Tun Perak (Balakong).

Lokasi lain ialah Jalan 11, Selayang Baru (DUN Taman Templer), Pangsapuri Berembang Indah, Masjid Bukit Naga (Sungai Kandis), Dataran Gesir Tengah (Hulu Bernam) dan Seksyen 16, Sungai Ramal.

Jualan sama turut berlangsung serentak di Surau Al-Falah, Taman Sri Pekan (DUN Bandar Baru Klang) dan Surau Haji Alias (Meru), dengan masing-masing menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor.

Program yang berlangsung sejak tahun lalu turut menjual daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu dan dijadual berlangsung sehingga Mei ini.

 


Pengarang :