Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang mencuba aneka juadah yang disediakan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada sambutan Aidilfitri MBSJ 2023 di Ibu Pejabat MBSJ pada 3 Mei 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ tampil 25 penjaja kecil, sedia aneka juadah di rumah terbuka

SUBANG JAYA, 3 MEI: Seramai 25 penjaja kecil dibawa khas bagi menyediakan pelbagai juadah sempena sambutan rumah terbuka Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini, hari ini.

Datuk Bandar Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata keputusan itu diambil bagi membantu penjaja yang berpendapatan rendah meraih rezeki yang lebih.

Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (kiri) meninjau hidangan yang ada di Majlis Bandaraya Subang Jaya pada majlis sambutan Aidilfitri MBSJ 2023 di Ibu Pejabat MBSJ pada 3 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sambutan secara sederhana dan kita membuka 25 gerai makanan yang terdiri daripada penjaja kecil dalam kalangan berpendapatan rendah.

“Kita pilih penjaja yang terkenal dengan makanan masing-masing antaranya sate, kambing golek, laksa, nasi lemak, rojak buah dan kuih muih. Ini dapat membantu mereka menambah pendapatan,” katanya kepada SelangorKini.

Pelbagai juadah disediakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya pada majlis sambutan Aidilfitri MBSJ 2023 di Ibu Pejabat MBSJ pada 3 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berlangsung di Ibu Pejabat MBSJ, majlis rumah terbuka secara tertutup itu dihadiri kira-kira 2,000 tetamu melibatkan kakitangan, ahli majlis, Ahli Dewan Negeri, agensi kerajaan serta rakan sinergi.

Mohd Fauzi berkata majlis tradisi tahunan itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikal raya khas dari pelbagai jabatan di MBSJ selain agihan duit raya kepada anak kakitangan.

“Tetamu turut digalakkan membawa bekas makanan dan minuman sendiri. Kita tidak menyediakan bekas plastik bagi menyokong usaha kelestarian alam sekitar,” katanya.


Pengarang :