Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan pada harga murah di jualan Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang pada 3 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah dapat sambutan, penduduk beli barangan persiapan rumah terbuka

Oleh SHAMZ JOHAN

HULU KELANG, 3 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Pangsapuri Berembang Indah, di sini hari ini mendapat sambutan baik apabila lebih 300 penduduk mula beratur sejak jam 8.30 pagi.

Penolong pengurus logistik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata kebanyakan pengunjung mengambil peluang bagi mendapatkan barangan murah dalam musim perayaan.

“Sambutan amat baik, pertengahan Syawal ini banyak jamuan Aidilfitri dan majlis rumah terbuka dianjurkan, jadi mereka mendapatkan barang keperluan seperti ayam, daging dan beras di sini.

“Mengikut jadual, JER akan diteruskan sehingga penghujung Mei, setakat ini, belum ada pengumuman tentang kesinambungan program selepas dari tempoh itu,” kata Mohd Hasri Abu Hassan ketika ditemui.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib (kanan) dan ahli majlis Zon 3 Majlis Perbandaran Ampang Jaya Anfaal Saari (tengah) meninjau Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang 3 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Terdahulu wakil rakyatnya Saari Sungib diiringi ahli majlis Zon 3 Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Anfaal Saari meluang masa singgah ke lokasi jualan untuk beramah mesra bersama penduduk.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menyusun barangan jualan pada Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang 3 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :