EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bergambar bersama penerima ketika penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan Karnival Mesra Selangor Laman Wawasan Ampang selepas majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Mesra Selangor bersama rakan strategik mudahamal.com, Gedung Penawar Sdn. Bhd. dan Noble Care Malaysia Sdn. Bhd. di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

15 pusat dialisis Mesra Selangor beroperasi tahun depan, tampung keperluan pesakit

SHAH ALAM, 3 MEI: Sebanyak 15 pusat dialisis Mesra Selangor bakal beroperasi tahun hadapan dengan pertambahan 10 pusat baharu bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata setakat ini lima pusat dialisis dikenali sebagai Pusat Dialisis Rakyat telah beroperasi secara percuma sejak 2010 dan kini dijenamakan semula sebagai pusat Dialisis Mesra Selangor.

Beliau berkata untuk penambahan pusat berkenaan, ia akan dimulakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya perumahan kos rendah, antaranya di Klang, Ampang dan Selayang.

“Dianggarkan setiap bulan sekitar 200 orang pesakit akan menerima manfaat di setiap pusat dialisis yang akan dibangunkan berdasarkan rekod pesakit di pusat dialisis sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyampaian Sijil kepada Sukarelawan Yayasan Mesra Selangor (YMS), di sini hari ini.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail bersama Dato’ Juhari Ahmad bergambar bersama selepas majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Mesra Selangor bersama rakan strategik mudahamal.com di banguna pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 3 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Rodziah menyaksikan pemeteraian tiga MoU antara anak syarikat kerajaan negeri, YMS dengan tiga rakan strategik iaitu Gedung Penawar Sdn Bhd untuk program Dialisis Mesra Selangor; mudahamal.com bagi program Mesra Qurban dan Noble Care Malaysia Sdn Bhd bagi program Pusat Mesra Wargamas.

Beliau berkata program Mesra Qurban bertujuan mewujudkan platform bagi masyarakat membeli lembu atau kambing bagi ibadah korban, akikah atau kenduri, yang akan diuruskan oleh YMS secara khidmat dari pintu ke pintu bermula 8 Mei ini.

Sementara itu, bagi program Pusat Mesra Wargamas, dijangka lima pusat penjagaan dibina bagi perkhidmatan menjaga mereka yang mengidap penyakit terminal dan dementia. – BERNAMA


Pengarang :