SUBANG JAYA, 5 MEI: Lebih RM1 juta dibelanjakan sepanjang penggal ini bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk di Dewan Undangan Negeri Seri Serdang.
Ahli Dewan Negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata selepas mendapat mandat beliau sedaya upaya memastikan penduduk terutama golongan yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.
“Bukan hanya program Kerajaan Negeri tetapi kami juga adakan beberapa program tambahan terutama melibatkan pendidikan. Antaranya bantuan RM500 untuk pelajar yang masuk universiti.
“Selain itu bantuan RM1,000 turut disediakan kepada penduduk yang menjadi mangsa bencana. Ketua kampung, nazir, imam banyak membantu untuk salurkan bantuan ini,” katanya.
Beliau berucap ketika majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri DUN Seri Serdang yang berlangsung di dataran niaga Puchong Prima di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Puchong Yeo Bin Yin dan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Zulkarnain Che Ali.
Ketika ini Selangor menyediakan 46 program kebajikan merangkumi semua aspek diperlukan rakyat menerusi Iltizam Selangor Penyayang.
Bermula 2008 selepas memegang tampuk pentadbiran, Kerajaan Selangor menyedia tujuh program dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri.
Skim bertambah kepada 43 program menerusi Inisiatif Peduli Rakyat pada 2017 sebelum penyelarasan dibuat menjadikan 33 bantuan disediakan pada 2019.