Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Festival karya agung al-Ghazali bermula, bincang kitab Ihya Ulumuddin

SHAH ALAM, 5 MEI: Festival Turath Islami Selangor yang membincangkan kandungan kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali berlangsung antara 20 hingga 25 Mei.

Program tersebut menampilkan tokoh berpengaruh dalam dunia Islam antaranya bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Jum’ah, Dr KH Said Aqil Siradj, Dr Nadirsyah Hosen dan Baba Ghazali Ahmad.

Bersempena majlis itu, ulama terkenal dari Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni memimpin program talaqqi kitab berkenaan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di sini.

Beliau membaca dan menghurai maksud kandungan kitab depan kirakira 200 peserta pada 1 Mei dalam dua sesi setiap satu selama dua jam yang diakhiri sesi soal jawab.

Orang ramai mendengar pengajian secara membaca tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Peserta terdiri antaranya daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Akademi Pemikiran Turath, Asatizah Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan program itu menandakan permulaan terjemahan 10 jilid kitab itu ke bahasa Melayu buat pertama kali yang dijayakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

“Saya harap bahawa usaha ini dapat menyemarakkan kegiatan keilmuan serta membangkitkan kehangatan ilmu kepada segenap penganut Islam di Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Festival itu dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.


Pengarang :