Orang ramai membeli barangan keperluan asas murah pada Jualan Ehsan Rakyat sempena program Kita Madani daerah Hulu Langat anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor di Agora Night Market, Taman Sri Naning, Dusun Tua pada 5 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah selepas Aidilfitri dipuji, jimat kos belanja dapur

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU LANGAT, 5 MEI: Keprihatinan Kerajaan Negeri meringankan beban kewangan rakyat dengan menawarkan barangan asas murah selepas perayaan dipuji ramai.

Pesara, Rosli Leman, 63, berkata komitmen Selangor menyambung semula program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) ketika umat Islam masih meraikan Aidilfitri membantu golongan tiada pendapatan tetap seperti dirinya.

Rosli Leman

“Program jualan murah ini memang sangat membantu jimatkan perbelanjaan maklum saja kita baru raikan Aidilfitri jadi memang banyak keluarkan belanja buat persiapan sambut hari raya.

“Di sini saya dapat beli macam-macam barang seperti ayam, telur dan daging dengan hanya RM50. Kalau di luar tak dapat beli banyak barang dengan nilai (RM50) tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pada acara JER sempena program Kita Madani daerah Hulu Langat di Rock 9 (Agora Night Market), Taman Sri Nanding, Dusun Tua di sini hari ini.

Sarihan Mohd Noor

Bagi Sarihan Mohd Noor, 65 yang pertama kali mengunjungi program terbabit terkejut kerana tidak menyangka barangan jualan yang ditawar segar dan berkualiti.

“Jualan ini baik kerana harganya memang sangat membantu ringankan beban kewangan golongan warga emas yang tiada pendapatan tetap.

“Saya berpendapat program ini patut diteruskan kerana ia ringankan beban rakyat terutama ketika kita berdepan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

“Jualan murah ini bukti Kerajaan Negeri prihatin dan peka dengan nasib rakyat,” katanya.

JER diperkenal tahun lepas oleh Kerajaan Negeri dan memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan murah barangan asas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Sempena Aidilfitri, jualan mega turut dilaksanakan di 23 lokasi pada 15 hingga 20 April lalu.

Inisiatif tersebut menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :