BUDAYARENCANA

Alexander, buka balik pintu saya!

Oleh Paul Khoo

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Alexander Graham Bell, anda yang mengajar kami: Ketika sebuah pintu tertutup, pintu lain akan terbuka, maka usahlah kita terpaku terlalu lama di depan pintu yang tertutup itu.

Sekali baca, alangkah sedapnya bujukan anda itu, Alexander! Seolah-olah masalah kita boleh selesai dengan hanya mengalihkan pandangan ke tempat lain. Tapi Alexander, masalah saya tidak selesai semudah itu.

Kalau saya sudah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba pintu yang saya langkahi tadi terkunci, bagaimana? Apakah yang harus saya lakukan, wahai Alexander Yang Berhormat?

Saya seorang yang suka membaca, tetapi saya tidak suka bercerita. Saya seorang yang suka menulis, tetapi saya tidak suka berucap. Saya berupaya mengingati 335 halaman rumus Tatabahasa Dewan, tetapi saya tidak mampu mengulang tiga halaman skrip syarahan. (Mungkin bukan semua halaman Tatabahasa Dewan, tetapi anda faham maksud saya.)

Itulah sebabnya, Alexander. Ketika umur saya 12 tahun, Cikgu Yeap mengajak saya untuk menyertai Pertandingan Ujian Bertulis Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri. Beliau tidak menyuruh saya menyertai Pertandingan Syarahan.

Mungkin Alexander tidak tahu. Dalam pertandingan ujian bertulis, saya perlu menjawab 100 soalan pemahaman dan tatabahasa bahasa Melayu. Aras kesukaran soalan pula pada tahap sekolah menengah, ia benar-benar susah! Anehnya, saya teruja melakukannya. Saya berlatih dengan Cikgu Yeap sehingga menjadi naib johan peringkat negeri Kelantan, kemudian saya mara ke peringkat kebangsaan.

Itulah kali pertama saya memakai baju merah pasukan negeri Kelantan, menaiki bas malam dari Tanah Merah menghala ke Johor Bahru. Kali pertama juga saya dapat menginap di dalam New York Hotel, sekamar dengan guru besar saya, Encik Siew. Kali pertama juga saya makan udang galah dan ketam di restoran (sampai mata saya kemerah-merahan kerana alergi). Saya membawa pulang sebatang pensel merah yang bertatahkan nama New York Hotel dan sekeping cenderamata kuda kepang untuk ibu saya. Ibu saya juga membeli surat khabar pada hari pertandingan itu, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sepanjang hayatnya. Kesemua itu masih tersimpan di dalam almari baju saya di Tanah Merah.

Saya terlalu rindu akan pertandingan itu, Alexander, tetapi ia cuma untuk murid sekolah rendah. Itulah sebabnya saya masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG). Kebetulan pula saya dapat IPG di Johor Bahru juga. Saya menuntut di sana hampir enam tahun, kemudian saya menjadi guru di SJKC. Saya berhempas-pulas mendapatkan hak mengajarkan bahasa Melayu di sekolah itu. Dua tahun kemudian barulah saya berjaya dan saya menjadi jurulatih pertandingan ujian bertulis.

Saya selalu memberitahu murid-murid saya. Orang bahasa tidak semestinya perlu bercakap berdegar-degar di atas pentas. Orang bahasa tidak semestinya perlu mendengar tepukan gemuruh daripada ribuan tukang sorak. Ada juga orang bahasa yang boleh duduk diam di meja, menghadap kertas dan menyelesaikan soalan-soalan bahasa dengan bergaya. Kita patut bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ujian bertulis bahasa Melayu, itu yang selalu saya katakan.

Sepanjang empat tahun menjadi jurulatih, Alexander, dua kali saya berjaya menghantar murid saya ke peringkat kebangsaan. Pada tahun 2019, saya menghantar dua orang murid. Tahun lepas pula, saya menghantar empat orang murid. Lazimnya pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan di negeri lain, jadi murid saya dapatlah juga makan angin sambil menimba pengalaman. Malangnya tahun lepas mereka cuma boleh ber-google meet kerana ancaman Covid-19. Saya sedih apabila mengenangkan bahawa mereka terlepas peluang untuk merasai pengalaman seperti saya sewaktu di New York Hotel dulu, tetapi saya memujuk mereka supaya terus berusaha, saya berjanji akan membawa mereka ke peringkat kebangsaan lagi tahun ini.

Kami sudah mula berlatih menjawab 100 soalan tiga hari seminggu, sejak awal bulan Mac lagi, Alexander. Saya sudah menemukan sembilan orang calon harapan saya. Kami yakin dapat menjawab dengan baik pada 24 Jun nanti (peringkat negeri). Kami mahu ke peringkat kebangsaan!

Tiba-tiba, anda menutup pintu kami. Bahkan, anda menguncinya terus. Tidak semena-mena anda beritahu kami, anda mahu melakukan “penambahbaikan”. Tidak ada lagi pertandingan ujian bertulis mulai tahun ini, anda gantikan dengan Pertandingan Bercerita (berpasangan).

Anda mengunci pintu kami untuk selama-lamanya, Alexander! Atas nama penambahbaikan, anda membuka pintu lain, tetapi anda tidak sedar kami sudah berada di dalam bilik itu. Sekarang sudah bulan April, Alexander! Adakah anda menyangka kami masih tercegat di hadapan pintu sepanjang masa ini? Kami sudah memulakan latihan dua bulan, dan kini anda membuat keputusan drastik untuk menguncinya begitu sahaja!

Wahai Alexander Yang Berhormat, apakah kepentingan “penambahbaikan” ini? Adakah pertandingan ujian bertulis tidak mendapat sambutan yang menggalakkan? Setahu saya, setiap tahun ramai sahaja wakil setiap negeri yang dihantar untuk bertanding. Adakah pertandingan ujian bertulis tidak membawa apa-apa manfaat? Setahu saya, ramai sahaja murid saya yang bertambah maju dalam bahasa Melayu selepas menyertai pertandingan ini.

Dan tolonglah Alexander Yang Berhormat, kalau anda mahu menutup sesebuah pintu, bolehkah anda jenguk ke dalam bilik itu sekejap? Atau setidak-tidaknya, buatlah pengumuman lebih awal supaya kami di dalam bilik tahu bahawa anda bakal mengunci pintu. Sekurang-kurangnya, berikanlah kami tempoh akhir tahun ini supaya kami dapat mengemas barang-barang di dalam bilik, supaya kami meninggalkan bilik ini dengan bermaruah, bukannya seperti dihalau keluar dan dihambat ke bilik yang lain. Dan belum tentu kami mahu masuk ke dalam bilik yang begitu berbeza sekali daripada bilik asal kami. Kami orang bahasa yang lebih suka duduk bergaya di depan meja!

Kepada Arivan, Nicol, Adelyn, Yvonne, Edanny, Kang Yao, Jessica, Cynthia, dan juga Jun Liang, cikgu minta maaf kerana tidak dapat menunaikan janji untuk membawa kalian ke pertandingan ujian bertulis peringkat kebangsaan. Cikgu harap, kalian teruskanlah hidup dan usahlah terlalu lama terpaku di depan pintu yang sudah terkunci.

 

 


Pengarang :