Kambing bakar antara menu istimewa sempena Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk teruja nikmati juadah enak, hiasan cantik di rumah terbuka Hulu Langat

HULU LANGAT, 6 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Selangor berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 10,000 penduduk bagi menikmati aneka juadah dan beramah mesra.

Pesara S Sandrasegan, 63, berkata selain juadah disediakan enak, beliau juga teruja dengan hiasan majlis di tapak Agora Night Market, Taman Sri Nanding di sini.

S Sandrasegan, 63. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebenarnya saya sudah biasa ke rumah terbuka yang dianjurkan rakan-rakan beragama Islam, jadi bukan perkara baharu jika mengunjungi program seperti ini.

“Cuma apabila Kerajaan Negeri anjurkan, saya teruja kerana tidak pernah hadir ke program besar dengan hiasan yang cantik, makanan juga sedap,” katanya ditemui pada program tersebut semalam.

Program bermula jam 8 hingga 11 malam menyajikan pelbagai juadah di 13 gerai yang antaranya menyajikan sate dan kambing bakar.

Juadah lain yang turut disedia ialah cakoi, laksa, lemang, rendang, air balang, nasi minyak, soto ayam, keropok lekor, apam balik dan pisang goreng.

Sementara itu, sebuah keluarga dari Perak tidak melepaskan peluang hadir ke rumah terbuka berkenaan selepas beraya di rumah abangnya di Dusun Tua.

Suri rumah Siti Noor Aishah Shuib, 42, berkata beliau bersama keluarganya dari Parit Buntar, Perak tiba di rumah abangnya untuk beraya ke rumah saudara lain di Selangor.

Siti Noor Aishah Shuib, 42. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Abang mengajak kami sekeluarga untuk pergi ‘makan besar’ di rumah terbuka Kerajaan Negeri. Kami yang tidak pernah menghadiri program di Selangor ambil kesempatan untuk singgah dan melihat sendiri kemeriahan sambutannya.

“Setibanya di sini, memang meriah dan seronok kerana pelbagai juadah disediakan walaupun perlu beratur untuk mengambil makanan,” katanya

Sementara itu, suri rumah Norzati Mohamad, 47, berkata beliau datang ke rumah terbuka ini bersama rakan-rakan senamrobik.

Norzati Mohamad, 47. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Apabila tahu tentang program ini, saya dan rakan-rakan riadah lain ambil keputusan untuk sama-sama hadir ke rumah terbuka.

“Program seperti ini dapat kumpulkan semua penduduk dan dapat berhari raya cuma kerusi agak kurang serta perlu menunggu sebentar untuk makan,” katanya.

Orang ramai membanjiri rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :