ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli bercakap kepada media ketika majlis pelepasan larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bukit Melawati belanja RM400,000 bina dewan komuniti Kampung Kuantan

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati membelanjakan kira-kira RM400,000 bagi pembinaan dewan komuniti Selangor Penyayang di Kampung Kuantan, di sini.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata projek berdampak tinggi itu akan memanfaatkan penduduk di empat kampung kawasan berkenaan khususnya di Mukim Pasangan.

“Setakat ini saya memilih satu kawasan iaitu di Kampung Kuantan untuk pembinaan dewan komuniti Selangor Penyayang. (Pembinaan) Mungkin akan ambil sedikit masa tetapi ia projek berdampak tinggi.

“Kawasan ini masih tiada kemudahan dewan komuniti dan kini semuanya dalam proses pelaksanaan dan mengambil sedikit masa. Diharapkan projek infrastruktur ini dapat siap sebelum Julai,” katanya.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli melepaskan peserta larian 10 km ketika majlis pelepasan larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan Bukit Melawati Lebarun yang disertai 1,300 perserta di Dataran Malawati di sini, hari ini.

Acara sukan yang turut mempromosi kawasan pelancongan sekitar disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM28 juta bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu diberikan kepada projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :