EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika Majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor lulus RM2.5 juta, pasang 300 lampu LED lagi seluruh negeri

HULU LANGAT, 6 MEI: Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam meluluskan RM2.5 juta bagi pemasangan 300 lampu diod pemancar cahaya (LED) lagi di seluruh negeri.

EXCO infrastruktur berkata kerja pemasangan lampu LED itu membabitkan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula minggu ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

Ir Izham Hashim berkata untuk fasa pertama pihaknya sudah pasang 300 lampu berspesifikasi tinggi di 31 DUN dan masih ada beberapa kawasan yang belum dipasang.

“Dalam mesyuarat hari ini (semalam), 25 DUN yang belum mendapatnya, kita akan pasang 10 unit lampu LED. Malah, ada beberapa DUN yang perlukan tambahan lampu lagi akan menerimanya.

“Untuk keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta untuk pemasangan 600 lampu LED di setiap DUN,” katanya ditemui pada Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Langat, semalam.

Tambah Ir Izham, setakat ini maklum balas diterima berhubung pemasangan lampu LED di setiap DUN positif berikutan tempat-tempat yang sebelum ini gelap sudah terang.

“Dengan adanya lampu LED ini memudahkan mereka yang pulang kerja lewat malam atau keluar awal pagi.

“Kita juga akan minta maklumat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika ada lagi kawasan mereka yang memerlukan,” katanya lagi.


Pengarang :