KUALA SELANGOR, 6 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) giat melipatgandakan usaha menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi terutama dalam usaha menjadikan golongan muda sebagai pengundi berpengetahuan.
Ketuanya Adam Adli Abdul Halim berkata usaha itu bagi memastikan pengundi muda mempunyai ruang untuk membuat keputusan yang baik dalam PRN nanti.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-LebaRun-7-500x333.jpg.webp)
“Tentu sekali menjelang PRN yang dijangka sebulan dua ini, AMK akan lipat gandakan usaha antaranya tambah baik komponen penerangan supaya dapat capai lebih banyak sasaran.
“Kita galakkan lebih ramai golongan muda untuk terlibat dengan pilihan raya, dan (kita mahu) apabila tiba PRN mereka jadi pengundi yang berpengetahuan dan mempunyai ruang untuk membuat keputusan dengan baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan Bukit Melawati LebaRun yang disertai 1,300 individu di Dataran Malawati di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-LebaRun-5-500x333.jpg.webp)
Mengakui usaha mendidik pengundi berpengetahuan tidak boleh dicapai hanya menerusi kursus atau pendekatan konvensional, Adam Adli berkata pihaknya memanfaatkan penggunaan media sosial dan arus perdana bagi menyebar luas kepentingan demokrasi.
Selain itu, Adam Adli berkata pemilihan calon muda bertanding dalam PRN akan datang tidak hanya tertumpu kepada faktor umur sahaja tetapi wibawa dan kemampuan urus tadbir terutama sebagai Kerajaan Negeri.
“Kita pastikan calon itu bukan setakat pada umur tapi wibawa dan juga kemampuan untuk urus tadbir negeri terutama sekali sebagai Kerajaan Negeri yang sedang memerintah.
“Itu yang paling penting dan kita harapkan supaya masyarakat bagi tumpuan terutama kepada isu di peringkat negeri. Contohnya di Selangor kita sudah ada Kerajaan Negeri yang tiga penggal urus tadbir dengan mengekalkan agenda prorakyat,” katanya.