Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam temu bual bersama media di Putrajaya pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM teliti langkah perlindungan terkini Covid-19, saran orang ramai terus amal SOP

SEGAMAT, 6 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membincangkan langkah perlindungan terkini yang akan dilaksanakan kepada rakyat susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan Covid-19 bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat, bagaimanapun tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada berkaitan wabak itu akan diteruskan seperti biasa.

“Buat sementara ini KKM akan meneruskan langkah perlindungan kawalan atau SOP sedia ada sehinggalah kita membuat keputusan muktamad sama ada untuk mengikut saranan WHO atau sebaliknya.

“Perbincangan di peringkat tertinggi KKM juga sedang dilakukan bagi mempertimbangkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sekijang 2023 di Dewan Masjid Bandar IOI di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata meskipun jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan baru-baru ini meningkat, ia masih terkawal dan tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dengan majoriti pesakit dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas.

Justeru, Dr Zaliha menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan SOP dan keselamatan kendiri termasuk memakai pelitup muka jika perlu terutamanya bagi mereka yang bergejala, selain terus menjaga kebersihan diri.

Terdahulu, agensi berita Jerman dpa melaporkan WHO pada Jumaat memutuskan pandemik Covid-19 global tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa selepas dunia dilanda pandemik sejak tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak mempunyai kesan konkrit susulan setiap negara perlu memutuskan sendiri langkah perlindungan yang akan dikenakan. – BERNAMA


Pengarang :