Orang ramai menghadiri temuduga ketika Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Selangor 2023 di Dewan Hamzah, Klang pada 6 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

16,865 individu dapat kerja melalui karnival, portal MYFutureJobs setakat April

KLANG, 6 MEI: Seramai 16,865 pencari kerja mendapatkan pekerjaan melalui karnival kerjaya dan portal MYFutureJobs yang berlangsung di seluruh negara setakat 28 April tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat menjelang akhir tahun.

Pegerusi Lembaga Perkeso Datuk Sri Subahan Kamal berucap ketika Majlis perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Selangor 2023 di Dewan Hamzah, Klang pada 6 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya, berdasarkan rekod tahun lepas, seramai 295,044 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui perkhidmatan sama.

Mengenai Karnival Kerjaya MyFutureJobs Selangor yang berlangsung hari ini dan esok di Dewan Hamzah, di sini, beliau berkata lebih 7,000 peluang pekerjaan menanti pencari kerja.

“Karnival dua hari yang mendapat kerjasama kerajaan Selangor menyaksikan penglibatan 38 majikan daripada pelbagai sektor antaranya kewangan, pembuatan, perhotelan dan peruncitan,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar (tengah) merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Selangor 2023 di Dewan Hamzah, Klang pada 6 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar melancarkan karnival tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V. Ganabatirau dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pula, beliau berkata terdapat seramai 175,999 pencarum aktif sejak skim itu dilancarkan dua tahun lepas dengan caruman hanya RM120 setahun.

“Saya menggalakkan orang ramai untuk mencarum kerana hanya RM10 sebulan sahaja, jumlah itu sangat minimum. Kita sangat berharap lebih ramai orang akan mencarum yang akan memberikan pelbagai manfaat kepada suri rumah pada masa akan depan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :