Oleh Diana Abd Wahab
KLANG, 6 MEI: Lebih 7,000 peluang pekerjaan pelbagai bidang ditawarkan kepada pengunjung di Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Negeri Selangor, kata EXCO Pemberdayaan Kerja.
V Ganabatirau berkata sebanyak 38 majikan dan syarikat daripada pelbagai sektor terlibat dalam karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Kerajaan Negeri.
“Menerusi karnival ini kita kumpulkan majikan dan syarikat terbaik dari pelbagai sektor seperti kewangan, perhotelan, pembuatan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan dan teknologi di negeri ini.
“Karnival bermula hari ini sehingga esok ini bertujuan mengurangkan kadar pengangguran negara dengan dengan menyediakan platform interaksi antara pencari kerja dengan majikan untuk penuhi kekosongan jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media karnival berkenaan di Dewan Hamzah, di sini hari ini.
Dalam pada itu Ganabatirau berkata pihaknya yakin lebih 2,000 pengunjung akan menghadiri karnival itu sehingga hari terakhir esok.
“Memandangkan Selangor adalah negeri hijrah, saya mengalu-alukan rakyat negeri ini mahupun dari luar Selangor hadir ke karnival ini. Banyak peluang pekerjaan disediakan.
“Rugi jika lepaskan peluang keemasan yang disediakan. Karnival ini mampu memberi impak yang positif kepada semua khususnya rakyat Selangor dalam mendapatkan penempatan pekerjaan,” katanya.