EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman beramah mesra bersama tetamu yang hadir ketika majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Petaling di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 8,000 pengunjung hadir rumah terbuka negeri peringkat Petaling

SHAH ALAM, 6 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Petaling meriah dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung biarpun dalam keadaan cuaca panas terik.

Berlangsung di tapak pasar malam Sungai Buloh, Paya Jaras, program rumah terbuka itu dihadiri pimpinan Kerajaan Negeri antaranya EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Bermula jam 11 pagi hingga 3 petang, pengunjung dihidangkan dengan pelbagai juadah antaranya kambing bakar, ayam golek, sate, nasi himpit, rendang, rojak buah, spageti, apam balik dan air balang.

Petugas menyediakan kambing golek ketika majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Petaling di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selaku wakil rakyat Paya Jaras, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata beliau amat mengalu-alukan kehadiran pemimpin dan jabatan-jabatan yang hadir ke rumah terbuka berkenaan.

“Kita sebenarnya jangka kehadiran 6,000 pengunjung tetapi melihat kepada kehadiran mungkin ia mencecah lebih 8,000 dan pelbagai juadah disediakan kepada tetamu.

“Mesej utama penganjuran rumah terbuka ialah ingin kekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat dengan cara kita sendiri, cara Selangor,” katanya pada program tersebut hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Khairuddin turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak selain pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis Zamani Slam serta Haziq Rosebi dan persembahan tarian daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) Selangor.

Penyanyi Zamani Slam menghiburkan pengunjung sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Petaling di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program rumah terbuka itu juga memaparkan tayangan video di instagram Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama rakyat dalam JKSA di tiga daerah kerana terlibat sesi lawatan ke Amerika Syarikat (AS).

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri diteruskan minggu ini bermula di Hulu Langat diikuti daerah Petaling bertempat di tapak pasar malam Sungai Buloh hari ini dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, program rumah terbuka Aidilfitri yang berlangsung di sembilan daerah dimulakan di Sepang, Hulu Selangor dan Klang.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh segera di pohon.


Pengarang :