Orang ramai menghadiri temu duga ketika Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Selangor 2023 di Dewan Hamzah, Klang pada 6 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Gadis tempuh perjalanan lebih 100km hadir karnival kerjaya di Klang

Oleh Diana Abd Wahab

KLANG, 7 MEI: Seorang pelajar Kejuruteraan Mekanikal sanggup menempuh perjalanan lebih seratus kilometer dari Rembau, Negeri Sembilan semata-mata mahu mencari peluang pekerjaan dalam karnival kerjaya di Dewan Hamzah, di sini semalam.

Fatin Nazura Norsham, 21, yang baru tamat latihan industri berkata karnival berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada graduan mencari pekerjaan, malah dapat tingkatkan keyakinan diri dalam sesi temu duga dengan majikan.

“Usaha anjurkan karnival ini sangat baik kerana ia dapat membuka mata dan bantu graduan cari peluang kerjaya yang sepadan.

Fatin Nazura Norsham 21

“Bila berinteraksi dengan majikan yang ambil bahagian dalam karnival ini secara tidak langsung ia bantu tingkatkan keyakinan diri kerana saya gugup dan berdebar ketika jalani temu duga,” kata pelajar Politeknik Muazam Shah itu kepada Selangorkini.

Bagi Afiq Nadiy Azman,32, beliau menghadiri karnival kerjaya itu untuk membantu adik dan sepupunya membuat persiapan mencari pekerjaan.

“Lepasan universiti terkapai-kapai kerana peluang pekerjaan tidak banyak selain perlu berdepan saingan pekerja berpengalaman.

“Dalam karnival kerjaya ini ada majikan sedia beri peluang kepada graduan baharu bagaimanapun mereka tidak boleh memilih mahu gaji tinggi.

“Sebaliknya perlu ambil peluang ini untuk cari pengalaman dan baiki diri,” katanya ketika ditemui.

Afiq Nadiy Azman 32

Sementara Muhammad Hakimi Mohd Isa 29, yang sudah lima kali menyertai karnival seumpama itu pula berkata beliau datang untuk mencari pekerjaan yang sesuai.

“Sebenarnya cari kerja tak susah namun sebab memilih kerana mahu kerja dan gaji yang sesuai.

“Pada saya karnival sebegini baik kerana individu yang cari kerja boleh pilih pekerjaan yang sesuai kelulusan dan gaji yang mereka inginkan,” katanya yang berjaya mendapat panggilan temu duga peringkat kedua pada karnival berkenaan.

Muhammad Hakimi Mohd Isa 29

Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Negeri Selangor berlangsung selama dua hari sehingga hari ini di Dewan Hamzah menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 38 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat adalah Weetports Malaysia, Aeon, Prasarana, Pos Aviation, Habib Group, Maybank dan Bank Muamalat.

 


Pengarang :