ADN Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof ketika ditemui di program Kita Madani Daerah Hulu Langat anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor di Agora Night Market, Taman Sri Naning, Dusun Tua pada 5 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Dusun Tua cadang bangun semula kawasan jeti lama Sungai Makau

Oleh Diana Abd Wahab

HULU LANGAT, 7 MEI: Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua mahu membangunkan semula kawasan lapang Sungai Makau Batu 14, di sini sebagai lokasi tarikan pelancong.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata pihaknya bercadang membina jeti di situ untuk menghidupkan semula nostalgia lama sekali gus dapat merancakkan ekonomi setempat.

“Ramai yang tidak tahu kewujudan kawasan terbabit yang dulunya berfungsi sebagai jeti. Jeti di kawasan itu dahulunya digunakan penduduk setempat untuk menyelusuri sungai.

“Kita berhasrat bangunkan tempat itu dengan wujudkan kembali jeti untuk hidupkan semula nostalgia lalu,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kita Madani Daerah Hulu Langat di Rock 9 (Agora Night Market), Taman Sri Nanding, Dusun Tua di sini, pada 5 Mei lalu.

Sementara itu Edry Faizal berkata pihaknya juga berhasrat menjadikan Hulu Langat sebagai destinasi tumpuan orang ramai mencari lemang.

“Dulu kita ingat durian sahaja yang jadi tumpuan. Namun kini ramai yang tinggal dari luar daerah ini sanggup datang semata-mata untuk rasai keenakan lemang Hulu Langat.

“Kita bukan sekadar mahu promosi tetapi juga wujudkan susun atur untuk peniaga agar ia lebih terurus memandangkan ketika ini mereka berniaga di pelbagai tempat.

“Kita akan kaji dan perhalusi semua perkara sebelum realisasikannya kerana banyak perkara perlu diambil kira.

“Buat masa ini kita belum ada perancangan untuk himpunkan semua peniaga lemang di satu kawasan (one stop centre) kerana kita perlu teliti lokasi sesuai dan pengurusan sampah,” katanya.


Pengarang :