Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menjalankan kerja menurap jalan di Jalan Baru, Sungai Buloh pada 29 April 2023. Foto Twitter INFRASEL
AGENSISELANGOR

Infrasel turap jalan rosak di Sungai Buloh, baiki bahu Jalan Bukit Bangkong Timur

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 7 MEI: Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menjalankan kerja penurapan jalan rosak (R01) di Jalan Baru, Sungai Buloh di sini, pada 29 April lalu.

Agensi terbabit turut melaksana kerja baik pulih bahu jalan di Jalan Bukit Bangkong Timur, Kampung Hulu Chuchoh, Tanjong Sepat pada 11 April.

“Kerja-kerja penurapan jalan rosak dilaksanakan dalam tempoh 24 jam hasil aduan orang ramai menggunakan #Infrasel.

“Teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama hashtag #infrasel #namajalan #daerah berlakunya kerosakan jalan raya tersebut,” katanya di Twitter.

Malam tadi EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim memaklumkan kerja menurap jalan rosak besar-besaran di Selangor membabitkan kos RM50 juta dilaksana secara serentak dua minggu lagi.

Beliau berkata lebih 20 kontraktor terlibat dalam projek membabitkan peruntukan tambahan RM50 juta dan dijangka mengambil masa dua bulan dengan menumpukan jalan yang agak teruk dan tidak mendapat perhatian.

Izham berkata pihaknya juga akan mengutamakan jalan yang dicadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sejak 2021 hingga tahun lalu syarikat penyelenggara jalan negeri itu melaksanakan lebih 39,000 kerja penurapan jalan bagi memastikan keselesaan pengguna.


Pengarang :