Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar bersama bakal haji yang menerima cenderamata sempena majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan titah jemaah haji kekal disiplin, jaga nama baik Selangor dan Malaysia

SHAH ALAM, 7 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan jemaah haji untuk terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap jemaah memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah dan bersabar menempuh sebarang dugaan sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci nanti dan menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia.

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan akan menumpukan perhatian kepada ibadah di tanah suci. Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sentiasalah berhubung dengan petugas-petugas haji dan mengikuti segala arahan-arahan yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah hari ini.

Sultan Sharafuddin yang diiringi DYMM Tengku Permaisuri SelangorTengku Permaisuri Norashikin berkenan bertemu dengan jemaah yang mengikuti kursus haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Baginda turut menasihati jemaah supaya mempersiapkan diri dan bersihkan niat sepanjang berada di tanah suci selain memanfaatkan sepenuh masa dan tenaga untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan cenderamata Kepada bakal-bakal haji sempena majlis perasmian penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain. Satu perkara lagi yang penting beta ingin nasihatkan ialah menjaga kesihatan bermula dari sekarang.

“Apabila sampai di tanah suci nanti, jika ada masalah kesihatan, segeralah ke klinik Tabung Haji di Makkah atau Madinah untuk mendapatkan rawatan.

“Beta juga berkenan untuk menasihatkan supaya para jemaah haji mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi supaya sentiasa berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan terhindar daripada sebarang masalah,” titahnya.


Pengarang :