Orang ramai menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 10,000 pengunjung meriahkan rumah terbuka Kuala Langat

KUALA LANGAT, 7 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Kuala Langat berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Program di tapak pasar malam, Taman Perwira Sijangkang di sini dihadiri pimpinan Kerajaan Negeri antaranya EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Program bermula jam 8 hingga 11 malam menyajikan pelbagai juadah kepada pengunjung termasuk makanan tradisi masyarakat jawa iaitu punten.

Penduduk menggayakan busana melayu ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Juadah lain termasuk kambing bakar, pecal, sate, lemang, rendang, kuih muih, apam balik dan air balang.

Borhan turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir selain pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis daripada Badan Kesenian Tentera Darat dan penyanyi tanah air, Ara Johari.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah beramah mesra bersama penduduk yang hadir sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim turut meluangkan masa membuat persembahan nyanyian lagu bertajuk Gerhana Cinta Luka dendangan kumpulan Iklim.

JKSA diteruskan minggu ini bermula di Hulu Langat pada Jumaat diikuti daerah Petaling bertempat di tapak Pasar Malam Sungai Buloh Sabtu.

Program tersebut akan diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Tetamu berbilang bangsa menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, program rumah terbuka Aidilfitri berlangsung di Sepang, Hulu Selangor dan Klang.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh segera dipohon.


Pengarang :